Monday, November 23, 2009

Sultan Alauddin belajar tasawuf


Cerpen menarik ini dipetik dari salah satu buku Faisal Tehrani yang berjudul…
Nama Beta Sultan Alauddin.
·       Abang seguru nya adalah Sunan Kali Jogo & Syeikh Sutabris.
·       Waktu itu madrasah di Pulau Upih Melaka memang tersohor dalam menawarkan pengajian tasawuf.
·       Maksud yang tersurat dan tersirat dalam kisah ini sangat bermakna dan harus kita contohi.
SULTAN ALAUDDIN BELAJAR TASAWUF
LELAKI tua yang merawat dan mengajarkan Raja Hussainn bersilat itu hanya memesan supaya baginda Raja Hussien mencari seorang guru al-Quran bernama Nuh Ha Mim.
           “Dia ada di Melaka. Sekali pandang seperti orang aco. Tetapi dia orang alim. Tak kurang ilmunya daripada Kadhi Yusuf, guru baginda sultan. Sampaikan salam ayahanda kepadanya.”
           Raja Hussain merenung wajah lelaki tua. “Siapakah yang menyampaikan salam?” Raja Hussain menggunakan kesempatan ini untuk mengetahui nama lelaki tua.
           “Sampaikan salam. Katakan Khidir yang menyampaikan salam. Dia akan menerima anakanda menjadi muridnya.”
            Nuh Ha Mim, guru agama berbangsa Cina menetap di Hujung Medini. Sekarang ini di Melaka pekan ini dinamakan Ujong Tanah. Tidak jelas bagaimana tuk guru Nuh Ha Mim ini boleh datang dari negeri China dan menginap di Melaka.  Apa yang jelas, tuk guru itu tidak datang bersama rombongan Hang Li Poh.
             Menurut orang setempat tuk guru tersebut berhijrah dari China bersama anak perempuannya setelah dakwahnya di ganggu pemerintah dan penjahat.  Nuh Ha Mim telah berhijrah ke Maguindanao dan mengislamkan ramai masyarakat disana. Sekarang ini Maguindanao adalah wilayah di dalam Negara  Filipina. Ketika itu Kerajaan Islam Maguindanao belum ada lagi. Tuk guru tersebut juga banyak mengislamkan orang di Manila. Memang waktu itu Kesultanan Islam Manila belum kukuh bertapak. Tetapi ramai juga yang berjaya diislamkan oleh Nuh Ha Mim.  Kemudiannya nanti kerajaan Islam di Manila ini jatuh ke tangan penjajah Sepanyol dalam tahun 1571 dan ramai penduduk Manila murtad menjadi penganut kristian.
             Setelah beberapa lama di Sulu, Nuh Ha Mim berpindah ke Pulo Upih. Sekarang ini Pulo Upih ialah Pulau Upih di perairan negeri Melaka yang kurang di pedulikan orang. Waktu itu madrasah di Pulo Upih memang tersohor dalam menawarkan pengajian tasawuf. Nuh Ha Mim menjadi salah seorang guru di sana. Antara muridnya termasuklah Sunan Kalijaga dan Syeikh Sutabris. Apabila muridnya makin ramai, Nuh Ha Mim berpindah ke tanah besar iaitu di Hujung Medini dan membuka pengajian  di rumahnya.
              “Wah hebat sekali tuk guru ini. Berasal dari China? Umar tak tau pun ada bangsa Cina yang boleh menjadi seorang ulama Islam yang besar tuk? “ Umar merasa keanehan.
             “Tak ada anehnya Umar. Di negeri China memang ramai bangsa Cina beragama Islam. Islam bukan milik orang Melayu sahaja.”
              Jesteru memang molek benarlah Raja Hussain berguru dengan Nuh Ha Mim. Memandangkan seorang sultan yang hebat perlu berguru dengan seorang alim yang besar.
              Pada mulanya memang sedikit sukar Raja Hussain meyakinkan Nuh Ha Mim bahawa baginda memang benar-benar berniat dan mahu belajar tasawuf. Berulang alik Raja Hussain ke Hujung Medini. Berulang kali Raja Hussain meyakinkan Nuh Ha Mim bahawa baginda tidak mahu menjawat takhta menjadi sultan Melaka. Baginda tahu ada orang alim yang memang gemar bergaul dengan pembesar-pembesar dan keturunan raja-raja.
              “Tak hendak kita menjadi sultan. Apatah lagi kekanda Raja Ahmad lebih layak menjadi pemerintah mengikut turutan. Tidak ada sebab tuk guru mahu menolak kita dari menjadi murid. Dinding emas perak lidah kita, bahawa tak terlintas di hati mahu menjadi raja. Kerja menjadi raja itu banyak tanggungjawabnya. Tak terpikul kita. Kalau ada seekor lembu patah kaki kerana jalan di Melaka ini rosak berlubang nanti akan ditanya Allah di hari akhirat mengapa sultan tidak memperbaiki jalan. Kita bukan jenis yang mampu memikul kerja yang sebesar itu. Biarlah kita mengaji agama saja daripada tuk guru.”
               Abu Bakar mengesat air mata.
              “Eh-eh kenapa Abu Bakar menangis?”
Datuk memberi perhatian.
       “Terharu saya mendenggarkan kata-kata Raja Husain itu tuk. Mana nak cari pemimpin yang berfikir sehebat itu tuk?”
         Datuk tersenyum, memahami bahawa kisah-kisah yang diceritakannya kepada kami tidak sia-sia sahaja.
        Tuk Guru Nuh Ha Mim masih belum mahu menerima dengan mudah Raja Husain menjadi muridnya. Tuk guru meletakkan syarat pula.
        “Datangkan kepada kita 7 jenis benda yang bukan berharga sangat, ia bermula ejanya dengan huruf sin.”
         Berpeluh Raja Husain, “Tuk guru berilah kita petanda satu demi satu agar dapat dipuaskan hati seorang guru.”
        “Benda pertama bermula ejanya dari huruf sin itu duduknya di bawah punggung kita.”
          Bergegaslah Raja Husain ke pasar Melaka mendapatkan safra untuk Nuh Ha Mim.
          “Inilah kain alas, duduknya di bawah punggung tuk guru. Bukanlah ia benda berharga jika begitu .”
             “Datangkan kita sebuah rumah kecil, tidak berpenghuni lagi, tidak ada kekayaan lagi di rumah itu.”
               Penuh teka-teki. Tetapi Raja Husain remaja yang pintar. Fikirannya berjalan kerana banyak menelaah kitab. Bukan seperti kekandanya Raja Ahmad yang sepanjang siang berhibur dengan irama-irama, tari-menari dan tepuk tampar daripada dayang-dayang. Bergegaslah Raja Husain ke hutan di sekitar Paya Rumput, mencari pohon yang dipuncakkan atau pada dahannya tersangkut sarang lebah yang sudah ditinggalkan.
         “Inilah sambang. Sarang lebah sudah kosong tiada berisi kerana ditinggalkan penghuninya. Memang ia tiada kekayaan lagi kerana madunya suda habis dipungut orang. Tiada lah ia punya erti apa-apa lagi.”
         Nuh Ha Mim tersenyum, masih menduga lagi, “Benda ketiga bermula ejanya dari huru sin itu hanyalah mengisi air mengalir dari hujung jari kita, tidak punya erti apa-apa lagi.”
           Raja Husain berlari pulang ke istana, masuk ke dapur dan tukang masak kerana raja muda menggelidah dapur mencari sangku.
         “Inilah tuk guru, sangku bekas basuh tangan, menadah air dari jari jemari tuk guru  yang selesai menjamah hidangan.”
         “Benda seterusnya ialah tidak cukup ia menjadi satu, tidak laku ia di pasar melaka.” Nuh Ha Mim terus menguji kesabaran bakal anak muridnya.
         Tanpa berlengah Raja Hussain berlarian ke Pasar Melaka dan kembali semula mempersembahkan, “Inilah kita bawakan sekepeng. Tak cukup ia menjadi satu, tak laku ia untuk digunakan membeli apa-apa barangan pun di pasar Melaka hatta kayu gaharu atau kapur barus sekalipun.”
         “Masih belum sempurna permintaan kita. Ayuh carikan segera sesuatu yang tidak ada habis rosak kepala Raja Ahmad, jika ada berertilah sedikit kepalanya.”
          Di situlah Raja Hussain tergendala. Lama juga baginda berfikir apakah sesuatu yang jika tidak ada habis rosak kepala Raja Ahmad. Barang tersebut harus bermula dengan huruf sin. Pening kepala juga Raja Hussain memikirkannya. Hakikat bahawa benda tersebut melibatkan Raja Ahmad menyebabkan Raja Hussain bertambah gusar. Hampir-hampir Raja Hussain putus asa.
          Raja Hussain pun bertandang ke rumah Nuh Ha Mim merayu supaya di beri petunjuk yang lain.
         Nuh Ha Mim senyum sahaja. “Selangkas betik berbuah masakan tak terduga anakanda apakah ia yang penuh di kepala Raja Ahmad?”
         Dengan petanda yang kecil itulah Raja Hussain kembali ke istana dan bertanyakan inang yang menjaga Raja Ahmad. Setelah mendapat jawapan, bersorak gembira Raja Hussain dan diucap-ucapkan Alhamdulillah tidak putus-putus. Raja Hussain berlari ke hujung Medini mempersembahkan selisik.
         “Inilah ia, penuh kutu di kepala Raja Ahmad, jika tiada selisik maka rosaklah kepala baginda raja mahkota.”
         Nuh Ha Mim tersenyum, masih ada dugaan yang belum dipenuhi lagi. “Dapatkan kita benda yang ada lok pun tidak berguna.”
         Raja Hussain yang bijaksana segera mendapatkan sepukal. Dimintanya dari seorang hulubalang tua.
         “Tuk guru inilah sepukal, keris yang sudah haus matanya, lurus keloknya dan tumpul pula.”
         “Baiklah, inilah yang terakhir. Dapatkan benda yang tiada harga pada Sultan Mansur Syah. Sudah kelabu, jika di akhirat lebih celaka jika tak dapat melepasinya.”
         Sekali lagi Raja Hussain terperangkap di situ. Lama Baginda menilik memerhatikan baginda sultan hingga Sultan Mansur Syah yang sedang bersemayam pun naik kehairanan.
          “Apa gerangan anakanda berkelakuan aneh sebegini?”
          “Tidak ada apa-apa. Cuma anakanda memikirkan apakah yang ada pada ayahanda akan terbelah tujuh di akhirat nanti.”
          Sultan Mansur Syah tersenyum. “Pada hemat ayahanda seperti yang ayahanda maklumi daripada guru ayahanda Kadhi Yusuf, kalau berbuat amal yang baik maka rambut sehalus dibelah tujuh pun dapat kita seberangi.”
          Mata Raja Hussain bercahaya.
          “Ampun tuanku ayahanda, jika tiada keberatan, anakanda mengharapkan sehelai rambut tuanku yang telah beruban putih kelabu.”
          “Untuk apa?”
           “Dibuat kenang-kenangan.”
            Sulatan Mansur Syah ketawa. “Aneh sungguh raja serigala. Baiklah apa salahnya.”
Baginda Sultan Mansur menanggalkan destarnya. “Mari, cabutlah uban ayahanda seberapa banyak pun yang anakanda mahu.”
             Waktu kedua beranak tersebut ketawa beranak pinak, Raja Ahmad lalu di hadapan kamar beradu sultan. Sakit benar hatinya melihat Raja Hussain dengan penuh manja mesra mencabut uban di kepala ayahandanya.
              Raja Hussain keriangan, tanpa berlengah lagi dimasukkan helai rambut ke dalam botol kecil dan dibawa pantas ke Hujung Medini.
              “Tuan guru, inilah surai baginda ayahanda Sultan Mansur Syah. Surainya putih beruban dan di akhirat kelak jika berbuat amalan baik walau di belah tujuh sehalusnya pun akan dapat diseberangi titian sirat.”
              Nuh Ha Mim angguk. Akur. Menepuk-nepuk bahu Raja Hussain. “Safra itu tempat alas duduk. Dunia ini begitulah tidak lebih besar dari alas duduk. Kita buat alas sekejap sahaja pada punggung kita. Dunia ini ibarat sambang, sarang lebah yang kosong. Madu kekayaan nya untuk orang lain. Habis juga nanti. Yang tinggal dunia yang kosong, ternampak dari luar pada kulit sahaja, menampakkan bentuk seperti sebuah sarang yang punya semua tetapi rupa-rupanya sambang sahaja. Sangku tempat kita menadah kotoran di tangan atau sisa makanan, itu sahajalah taraf dunia ini, tak lebih darinya. Jangan lah kita membesarkan sangku kerana ia hanyalah mangkuk menadah air basuhan tak punya apa-apa kelebihan. Sekepeng begitulah dunia ini, tidak ada erti apa-apa. Apa lakunya sekepeng di Pasar Melaka? Apa lakunya kekayaan sekepeng di sisi Tuhan? Yang kita bawa menghadapnya iman dan amal sahaja. Selisik, begitulah dunia, seumpama sikat untuk menanggalkan segala kutu yang melekat di kepala. Kebendaan yang dicari manusia dan kemasyhuran hanyalah kutu yang perlu kita tanggalkan, kita bersihkan dengan selisik. Pada sepukal sedarlah kita yang akehebatan manusia itu sementara. Tajam akan menjadi tumpul. Lok akan menjadi haus. Tidak ada kehebatan dan keperkasaan melebihi Kehebatan dan Keperkasaan Tuhan. Surai, marilah anakanda kita bertakwa kerana itu sahaja yang akan menjaga kita pada hari kita harus menyeberanga titian sehalus surai dibelah tujuh. Rasmilah anakanda menjadi murid kita hari ini.
             Raja Hussain menitiskan air mata.
             “Guru kita berkirim salam. Namanya Khidir.”
            Nuh Ha Mim bangun, mencium dahi Raja Hussain.
             “Masya-Allah anakanda Hussain, Masya-Allah. Kamu akan jadi orang besar demi Islam kelak. Berjaga-jagalah, seperti Saiyidina Hussain, kelak kamu akan di ancam maut sentiasa.”
             Raja Hussain angguk, separuh mengerti, separuh memahami. Bermulalah pelajaran tasawuf untuk seorang bakal sultan.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...